PN belum buat keputusan calon 'poster boy' PRN Pulau Pinang - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
April 23, 2023 14:42 MYT
Ahmad Faizal ditemui ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Datuk Mohd Radzi Manan dan Datuk Normah Hanum di Tambun Height, di Tambun, hari ini. - Foto Astro AWANI
TAMBUN: Calon ‘poster boy’ bagi Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, masih belum ditetapkan.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelbagai pihak boleh mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai perkara itu.
Menurutnya, setakat ini pucuk pimpinan parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
“Poster boy daripada Perikatan Nasional untuk negeri Pulau Pinang tentunya datang daripada calon Perikatan Nasional tetapi buat setakat sekarang ni, kita tidak ada menetapkan mana-mana poster boy.
“Tentunya ada banyak pihak yang mengeluarkan pandangan tetapi pucuk pimpinan tidak ada membuat apa-apa keputusan berkenaan dengan perkara itu,” katanya.
Beliau ditemui ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Datuk Mohd Radzi Manan dan Datuk Normah Hanum di Tambun Height, di sini, hari ini.
Beliau mengulas desas-desus kononnya PN akan menampilkan seorang calon Melayu sebagai ‘poster boy’ pada PRN Pulau Pinang akan datang.
Berdasarkan desas-desus itu, ‘poster boy’ berkenaan merupakan seorang calon baharu.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) enam buah negeri akan dibubarkan dalam masa yang hampir sama, bagi membolehkan PRN diadakan serentak.
Menurutnya, perkara itu amat dialu-alukan bagi memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pilihan raya di samping memudahkan pengundi yang perlu balik kampung dan sebagainya.
#Ahmad Faizal Azumu #PRN #poster boy #PN
;