PN bakal ambil tindakan mahkamah dakwaan terima dana perjudian

Sinar Harian
Mei 26, 2023 14:35 MYT
Muhyiddin berkata, pertuduhan berat itu satu pembohongan ke atas gabungan tersebut, maka tindakan perundangan tidak mustahil akan diambil terhadap pihak terlibat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan dakwaan bahawa gabungan itu menerima dana hasil perjudian adalah satu fitnah besar.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertuduhan berat itu satu pembohongan ke atas gabungan tersebut, maka tindakan perundangan tidak mustahil akan diambil terhadap pihak terlibat.
Menurutnya, PN akan berbincang dengan pihak peguam berhubung tindakan susulan yang akan diambil mengenai dakwaan gabungan itu menerima dana daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lepas.
Beliau berkata, Menteri Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini ada menyatakan bahawa tuntutan itu tidak dapat disahkan sekali gus membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan kepada PN adalah fitnah dan satu pembohongan.
"Kita (PN) akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas kenyataan itu.
"Terlebih dahulu, kita (PN) ingin menegaskan bahawa dakwaan ini satu tuduhan dan fitnah yang serius. PN akan menunggu jawapan daripada Anwar sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan kes berhubung pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Muhyiddin berkata, apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini yang menyatakan PN sebelum ini pada PRU-15 menggunakan wang judi adalah tidak benar sama sekali.
Malah beliau berkata, Azalina ada menyatakan tidak ada satupun petanda boleh membuktikan bahawa perkara (dakwaan) itu betul.
Sehubungan itu katanya, PN akan berbincang dengan pihak peguam tentang langkah (tindakan) seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Insya-Allah, kita (PN) akan teliti perkara ini, namun apa yang penting pertama sekali kita akan minta mereka memohon maaf kerana ini satu fitnah serta pertuduhan yang berat.
"Selepas itu saya akan tengok apa yang mereka akan lakukan selepas itu," ujarnya.
Sebelum itu, dalam jawapan bertulis sesi Parlimen pada Khamis, Azalina berkata dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen pilihan rayanya tidak dapat disahkan.
Azalina berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati maklumat itu sangat umum dan tiada pihak dapat mengesahkannya, maka tiada kertas siasatan dibuka. - Sinar Harian
#dana judi #PRU15 #PN #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim
;