PN akan terus berdepan masalah keyakinan - Anwar

Harits Asyraf Hasnan
Disember 15, 2020 22:12 MYT
Ia dibuktikan hari ini apabila Kerajaan hanya berjaya memperoleh tidak lebih dari 112 sokongan menerusi undian belah bahagian RUU Perbekalan 2021. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, tegas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Anwar, ia dibuktikan hari ini apabila kerajaan hanya berjaya memperoleh tidak lebih dari 112 sokongan menerusi undian belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.
"Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru tentang bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.
"Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Anwar, belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan dan telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.
Jelasnya, Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.
"Semasa perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai ahli Parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak, terutamanya isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP...
"...peruntukan yang melampau tinggi sebanyak RM45.5 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukkan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit," ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Anwar tindakan kerajaan PN yang telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan telah menyebabkan sejumlah ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut.
"Ia sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini, meski pun belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN.
"Adalah dikesalkan juga tatkala terdapat beberapa orang ahli Parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut," katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #KWSP #Parlimen #ekonomi #politik #pembangkang #penjawat awam #undang-undang #Belanjawan 2021 #Ketua Pembangkang
;