PM wajar jelaskan tindakan guna Akta Hasutan, kata Gan Ping Sieu
Astro Awani
September 5, 2014 14:01 MYT
September 5, 2014 14:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta memberi penjelasan berhubung pendakwaan menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas mereka yang dilihat mempunyai pandangan yang bertentangan dengan kerajaan.
Presiden bersama Center for a Better Tomorrow, Gan Ping Sieu berkata kegagalan menjelaskan tindakan itu hanya akan menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan tunduk kepada kelompok haluan kanan yang mendesak pihak berkuasa bertindak tegas ke atas mereka yang kritikal terhadap kerajaan.
Menurut Ping Sieu, tindakan undang-undang sejak dua minggu lalu itu mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat kerana ada persepsi polis dan Pejabat Peguam Negara diperalatkan untuk menekan perbezaan pendapat.
"Untuk meredakan kebimbangan itu, Perdana Menteri sebagai seorang negarawan perlu menjelaskan kenapa nampak seperti ada serbuan terutamanya ke atas mereka yang berbeza pandangan dengan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Naib Presiden MCA yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menambah Najib juga harus menyatakan apakah "tindakan keras" itu akan diperhebat atau reda.
"Beliau perlu menekankan semula komitmennya bahawa sistem pentadbiran tidak akan digunakan untuk tujuan politik dan akan kekal bebas daripada unsur politik," katanya.
Ping Sieu menegaskan CENBET mendukung kenyataan Perdana Menteri bahawa kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan pada setiap masa.
Bagaimanapun katanya tindakan undang-undang hanya ke atas mereka yang berbeza pandangan politik hanya akan menjerumuskan lagi negara ini ke dalam perpecahan dan menyukarkan proses penyatuan semula yang dijanjikan selepas pilihan raya umum tahun lalu.
"Tatkala kita tumbuh menjadi demokrasi yang matang, pertembungan idea harus digalakkan -- bukan disekat," katanya.
Jelas beliau, berbeza pandangan adalah perkara yang biasa dan selaras dengan dasar Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir.
Dalam tempoh dua minggu ini, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Pada minggu ini, pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azmi Sharom didakwa di bawah akta yang sama manakala wartawan Malaysiakini, Susan Loone ditahan untuk siasatan dan kemudian dibebaskan.
Pada Jumaat, bekas pemimpin mahasiswa, Safwan Anang dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur setelah sabit tuduhan menghasut berhubung satu ucapan pada 13 Mei 2013.