PM tidak pernah pandang rendah Sabah - Ketua Armada
Ruzaini Zulkepli
September 1, 2020 18:13 MYT
September 1, 2020 18:13 MYT
Tidak berbangkit soal Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri.
Demikian kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Negeri, Fairuz Renddan berhubung isu segelintir pihak menyuarakan persoalan berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak pernah memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri berikutan mempunyai sumber ekonomi yang banyak.
"Kerajaan negeri berhak merancang dan melaksanakan apa juga program pembangunan untuk rakyatnya dan negeri Sabah menggunakan sumber yang ada.
"Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri merancang dan melaksanakan pembangunan untuk rakyatnya," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis baru-baru ini yang mendakwa kononnya Muhyiddin memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri.
Fairuz berkata, dakwaan itu saling tidak ubah sekadar luahan perasaan dan imaginasi Isnaraissah Munirah sendiri dan bukan suara rakyat Sabah.
"Kenyataan Munirah itu juga jelas bahawa Warisan berasa semakin terancam dan hilang pengaruhnya terutama setelah Bersatu bertapak di Sabah.
"Kerajaan Persekutuan tidak pernah menghalang mana-mana kerajaan negeri menentukan hala tuju dan pembangunan negeri masing-masing termasuk Sabah kerana itu adalah hak kerajaan negeri tersebut ", tegasnya.
Menurutnya juga, tidak timbul soal hala tuju dan pembangunan negeri ini dibelenggu parti-parti politik yang mentadbir kerajaan Pusat.
"Ini kerana Sabah ditadbir oleh kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Plus. Sementara parti-parti politik yang mentadbir kerajaan Persekutuan merupakan parti pembangkang di Sabah.
"Tambahan pula Munirah pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Persekutuan dan sudah tentu dia sendiri sedar akan kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Adakah ketika itu kerajaan negeri Sabah juga tidak bebas untuk menentukan hala tuju dan pembangunan negeri dan dibelenggu oleh parti-parti politik yang mentadbir kerajaan Pusat?" soal Fairuz lagi.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga tidak pernah menyatakan bahawa Sabah memerlukan belas kasihan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan.
"Sebenarnya Perdana Menteri berasa kecewa dengan kerajaan Sabah kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pimpinannya. Katanya adalah lebih baik jika kerajaan negeri dapat bekerja sebagai satu pasukan dengan kerajaan Persekutuan," tegasnya lagi.
Muhyiddin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu lalu menegaskan, persefahaman antara negeri dan Persekutuan dapat memberi kesan besar dalam pelbagai aspek dan mahu mesej itu sampai kepada rakyat.
Tambah beliau, rakyat Sabah akan menikmati lebih banyak manfaat sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.
#Fairuz Renddan
#kerajaan negeri
#kerajaan pusat
#Ketua Armada
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Sabah
#Sabah Memilih