PM perlu panggil sidang Parlimen Mac ini - PH
Fareez Azman
Februari 24, 2021 18:10 MYT
Februari 24, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac depan.
Demikian tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan media pada Rabu.
"Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas DYMM Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.
"Ini selaras dengan apa yang termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021," jelas kenyataan itu.
Malah Pakatan Harapan serta majoriti Ahli Parlimen berpendirian bahawa ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat dikuatkuasakan, Parlimen juga perlu memainkan peranan dalam tadbir urus kerajaan.
"Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik COVID-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.
"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini," jelas kenyataan media itu lagi.
#Pakatan Harapan
#Muhyiddin Yassin
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#Media
#Parlimen
#ekonomi
#menteri
#COVID-19
#pandemik
#presiden
#Sidang Parlimen
#Majlis Presiden Pakatan Harapan