PM patut bincang dengan ketua pembangkang untuk luluskan bajet, bukan darurat - Shahrir Samad
Astro Awani
Oktober 25, 2020 15:32 MYT
Oktober 25, 2020 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berbincang dengan Ketua Pembangkang bagi mengadakan gencatan politik dalam usaha untuk meluluskan belanjawan, kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.
Menurut Shahrir, kerajaan sepatutnya mengambil apa juga langkah secara paling bijaksana berpandukan kepada perlembagaan dan undang-undang.
“Tidak salah Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri, berunding dulu dengan Ketua Pembangkang untuk mencapai kebijaksanaan itu,” katanya menerusi Facebook beliau.
Beliau berkata, sekiranya Ketua Pembangkang enggan untuk berkompromi secara politik agar diadakan “gencatan politik” barulah kerajaan terpaksa melibatkan Yang Di Pertuan Agong dalam urusan berkenaan.
“Keengganan Ketua Pembangkang untuk berkompromi secara politik agar adanya “gencatan politik” untuk meluluskan bajet pentadbiran serta mengatasi kesan buruk wabak COVID-19 terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat, (maka) barulah Perdana Menteri dan kerajaan terpaksa melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Ketua Pembangkang wajib mengutamakan keredaan politik untuk menyelamatkan rakyat dan negara dari mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, perubahan kerajaan patut dilakukan melalui pilihan raya umum selepas pandemik COVID-19 kembali reda.