PM Najib berikrar pertahan pentadbirannya

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 21, 2016 20:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, berucap merasmikan Bulan Kemerdekaan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk mempertahankan petadbirannya dan tidak akan menyerah kalah kepada tekanan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau dalam nada yang tegas berkata akan terus melawan semua tekanan tersebut dan tidak akan membenarkan hala tuju negara ditentukan oleh seorang individu.
"Saya tahu Dr Mahathir obses dengan 'control'. Jadi saya ada dua pilihan sahaja, sama ada saya jadi Perdana Menteri yang terpaksa rujuk pada dia kalau nak buat apa-apa keputusan dan kalau nak buat keputusan besar, saya kena mengadap dia, minta persetujuan dia atau saya jadi Perdana Menteri yang buat keputusan berdasarkan kehendak rakyat dan parti.
"Jika keputusan kedua, tentu sekali lama kelamaan dia akan serang saya macam Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kena serang dulu kerana Pak Lah tak dengar cakap dia bila Pak Lah bawa masuk orang muda.
"Jadi sampai bila kita hendak hidup dalam keadaan begini tiada seorang yang akan menentukan dasar kita," ujar beliau.
Pada masa sama Datuk Seri Najib turut mempertikaikan tindakan Tun Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO yang bertindak menubuhkan parti baru untuk menentang parti UMNO yang pernah berjasa kepada mereka.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat dan ahli UMNO supaya menghayati erti sebenar sambutan Hari Kebangsaan.
Perdana Menteri menegaskan, ia sama dengan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dari campur tangan kuasa asing dan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang.
Datuk Seri Najib memberi jaminan kepimpinan UMNO akan terus memperjuangkan kedaulatan negara kerana ia adalah asas perjuangan parti itu sejak dari awal penubuhannya seperti yang tertera dalam perlembagaannya.
"Kita sebagai sebuah parti, ucapan Ketua Bahagian, Pengerusi Perhubungan berkisar kepada menjaga kedaulatan dan kemerdekaan kita.
"Kalau dibuka perlembagaan UMNO, salah satu asas perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dan pentingnya untuk menjaga kesetiaan kepada parti, kepada pemimpin adalah sebahagian dari nilai tradisi yang menjadi tonggak kenapa UMNO masih boleh bertahan dalam bumi bertuah ini," ujar beliau lagi.
Datuk Seri Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Pulau Pinang pada Ahad.
Pada majlis yang berlangsung di Dataran Transformasi Usahawan Kubang Menerong itu, Datuk Seri Najib turut melancarkan Program Bulan Kebangsaan Barisan Nasional Pulau Pinang serta menyampaikan surat penghargaan kepada 10 veteran UMNO dari bahagian Tasek Gelugor.
#Mahathir Mohamad #Najib Tun Razak #Perdana Menteri #tekanan #UMNO
;