PM lebih dua penggal cenderung jadi diktator - Nazri

Irwan Muhammad Zain
September 23, 2021 23:16 MYT
Nazri menjelaskan banyak contoh yang berlaku di mana seseorang individu yang dipilih menjadi perdana menteri lebih dua penggal akhirnya menjadi diktator. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang memegang jawatan lebih dari dua penggal akan cenderung menjadi seorang diktator, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Nazri menjelaskan banyak contoh yang berlaku di mana seseorang individu yang dipilih menjadi perdana menteri lebih dua penggal akhirnya menjadi diktator.
“Apabila seseorang itu dilantik menjadi perdana menteri kali pertama, dia akan berbaik-baik dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan memastikan dapat menguasai penjawat awam.
“Individu ini juga akan berusaha menguasai parti dan memastikan parti mengikut apa kehendaknya.
“Bila penjawat awam dan parti sudah dikuasai, maka bila masuk penggal kedua individu ini sudah mula menjadi diktator,” katanya dalam program temubual Bersemuka yang disiarkan secara dalam talian menerusi Facebook NRChannel TV.
Beliau juga menjelaskan mana-mana parti boleh mengubah perlembagaan bagi nemastikan presidennya dapat mengetuai parti mengikut had penggal perdana menteri.
“Mana-mana perlembagaan baik negara atau parti adalah yang dibuat oleh manusia dan ianya boleh berubah mengikut peredaran zaman.
“Kalau bimbang presiden parti hilang jawatan dalam parti pindalah perlembagaan bagi memastikan ia mengikut tempoh penggal menjadi perdana menteri.
“Kita buat perlembagaan, kita boleh pinda untuk sesuaikan keadaan,” katanya lagi.
Tempoh had perdana menteri merupakan antara yang dicadangkan oleh kerajaan dalam usaha melakukan reformasi Parlimen.
#jawatan PM #Perdana Menteri #diktator #Ahli Parlimen Padang Rengas #Nazri Aziz
;