PM ke- 9: Langkah mudah mempercepatkan jurang pembangunan Sabah, Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 20, 2021 20:09 MYT
Kerjasama politik yang harmoni juga katanya akan memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan holistik.
KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu diharapkan akan menjadi langkah mudah untuk mempercepatkan usaha merapatkan jurang pembangunan di wilayah Sabah dan Sarawak.
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, Ahli Parlimen Bera itu mungkin boleh melantik dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak manakala seorang lagi dari Semenanjung.
"Kita perlu berfikir di luar kotak, untuk melakarkan kabinet baharu termasuk mewujudkan dua portfolio Timbalan Perdana Menteri, seorang daripada Semenanjung dan seorang lagi daripada Sabah atau Sarawak.
“Aspirasi ini adalah hasil daripada keinginan rakyat dan perlu difikirkan dengan serius selepas kita mencapai kemerdekaan selama 58 tahun, mungkin ini hadiah terbaik untuk rakyat serta kerajaan Sarawak sehingga memungkinkan sebuah kerajaan yang stabil dibentuk,” katanya kepada Astro Awani pada Jumaat.
Tambah Jeniri, pelantikan Perdana Menteri baharu itu juga akan memperlihatkan keupayaan yang maksimum kerajaan Pusat dalam mengangkat taraf hidup penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak seperti semasa zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin,
“Kita mahu merapatkan jurang pembangunan dalam pelbagai aspek, termasuk infrastruktur, ekonomi, pelancongan, pendidikan dan sebagainya mungkin melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau Menteri Kerja Raya seperti sebelum ini.
“Sudah pasti juga sesiapa pun yang dilantik ia perlu mengambil kira latar belakang, pengalaman politik dan juga bakat serta keupayaan mereka untuk menerajui kementerian terbabit bukan sahaja untuk menguntungkan negeri tertentu tetapi lebih penting untuk terus memacu negara kita ke hadapan pasca COVID-19," katanya.
Ujarnya, dengan pelantikan jawatan yang sesuai sahaja rakyat akan menjadi saksi bagaimana tanah air ini dapat melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang mementingkan integrasi nasional.
Kerjasama politik yang harmoni juga katanya akan memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan holistik dalam masa yang sama memastikan perjuangan penubuhan Malaysia dahulu dapat dicapai dengan aman.
#sabah sarawak #pembangunan Sabah Sarawak #Dr Jeniri Amir #perdana menteri baharu #ismail sabri yaakob
;