PM ke-8: Tun M perlu berjiwa besar dan tarik diri - UMNO Terengganu
Astro Awani
Mac 1, 2020 08:06 MYT
Mac 1, 2020 08:06 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berjiwa besar dan menarik diri daripada merebut jawatan Perdana Menteri kelapan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu sekali gus dapat menyelesaikan kemelut politik yang melanda.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berpendapat, jika terus bercelaru, ia akan memalukan negara dan perkara itu perlu diselesaikan segera.
“Kami berharap Tun berjiwa besar dalam soal ini kerana beliau telah menjadi Perdana Menteri kali kedua dan menyatakan baru-baru ini beliau menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri ke-8.
“Tetapi, saya percaya, apabila beliau menarik diri, setelah didesak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya, dengan strategi politik tertentu, Tun ingin kembali jadi Perdana Menteri.
“Jadi saya berharap, sepatutnya Tun menarik diri,” kata Ahmad.
Pada Sabtu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerangkan, Al-Sultan Abdullah berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri ke-8 kepada Agong.
Sementara itu, Ahmad berharap, Muhyiddin dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dengan pengalaman yang dimilikinya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri.
Muhyiddin, 72 tahun, pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak Apr 2009 hingga Jul 2015 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, dan pernah dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Menteri Dalam Negeri.
#Ahmad Said
#Anwar Ibrahim
#bercelaru
#Mahathir Mohamad
#Malaysia2020
#memalukan negara
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Perdana Menteri kelapan
#PM8
#tarik diri
#UMNO
#Yang di-Pertuan Agong