'PM ke-8 tak berani...' - Dewan Rakyat kecoh usul undi percaya PM Anwar
Hasimi Muhamad
Disember 19, 2022 15:49 MYT
Disember 19, 2022 15:49 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan pertama Dewan Rakyat mencetuskan kekecohan selepas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketegangan berlaku selepas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengemukakan point of order agar tidak menggunakan Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bagi mempengaruhi Dewan Rakyat selepas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri telah diperkenankan.
Shahidan berpandangan, perkara tersebut melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 36(7), dan meminta Anwar menjadi Perdana Menteri tanpa perlu mengemukakan usul percaya, jika diyakini mempunyai keabsahan.
"Bagi kami pada pandangan kalau Agong sudah absah (pelantikan Anwar), buat apa nak bawa sini.
"Jadilah Perdana Menteri, tak perlu absah," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Begitu pun, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah berkata keputusan mengemukakan undi percaya dibuat kerana Perdana Menteri ketika ini mempunyai keberanian.
"Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dulu tak berani nak bawa (undi percaya), isytihar daruat, tak berani ...
"Sebab kita berani sebab Perdana Menteri yang ada hari ini berani tak sama seprti yang kelapan dulu, tak berani," ujarnya.
Shahidan kemudian membalas beliau terkejut dengan respons yang diberikan ahli Parlimen, selain menyifatkan kekecohan di Dewan Rakyat seperti suasana di zoo negara atau 'orang gila'.
"Orang baru balik hospital (Hulu Langat), ini masalahnya...," kata Shahidan.
Kenyataan Shahidan itu kemudian mencetuskan bantahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How yang meminta Shahidan menarik balik.
"Tarik balik kenyataan yang disifatkan sangka buruk yang tak boleh diterima dalam Dewan Rakyat," katanya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudian memaklumkan usul percaya terhadap Perdana Menteri akan dibahas oleh 12 invidu, dengan pembahas pertama ialah Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.