PM ke-10: Anwar Ibrahim selesai angkat sumpah, tinggalkan Istana Negara

Hasimi Muhamad
November 24, 2022 18:55 MYT
Anwar, 75, yang diiringi isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sempat melambai tangan dan tersenyum kepada pengamal media ketika keluar dari Istana Negara. - Sumber foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara sekitar pukul 6.40 petang selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.
Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Singgahsana Kecil, pada pukul 5.06 petang tadi.
Anwar, 75, yang diiringi isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sempat melambai tangan dan tersenyum kepada pengamal media ketika keluar dari Istana Negara.
[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara
Presiden PKR itu dijangka mengadakan sidang media pertama sebagai Perdana Menteri di Sungai Long Club House, Kajang hari ini.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional (PN) (73 kerusi); Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); dan Bebas (dua).
Selain itu, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
#Anwar Ibrahim #PM10 #Pakatan Harapan #Istana Negara
;