PM Ismail Sabri umum Parlimen dibubar, beri laluan kepada PRU15

Umavathi Ramayah
Oktober 10, 2022 15:04 MYT
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari Bangunan Perdana Putra, Putrajaya sebentar tadi. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.
MUAT TURUN: TEXT PENUH PERUTUSAN PERDANA MENTERI
Dalam perutusannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
"Dengan ini, saya mengesyorkan Ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing," katanya di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri memberitahu, langkah itu wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Sementara itu, katanya, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perdana Menteri umum Parlimen dibubarkan hari ini
Beliau memberitahu, dengan pengumuman itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat.
"Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15," ujarnya lagi.
Ismail Sabri berkata, proses itu adalah berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.
"Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi - Perdana Menteri
"Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik," tambah beliau.
Senario pengumuman pembubaran Parlimen adalah sama situasi pada 1999, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen selepas pembentangan bajet.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengumumkan pembubaran Parlimen sekitar 10 November 1999, selepas bajet dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Oktober pada tahun yang sama.
Buat masa ini, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah berkecuali daripada mengadakan PRU kerana sudah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
PRU15 adalah yang pertama di bawah kepemimpinan Ismail Sabri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu.
Sejak PRU14, negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dengan bilangan Ahli Parlimen yang melompat parti mencecah lebih 40 individu.
#PRU15 #ismail sabri yaakob #pembubaran Parlimen
;