PM harap Mat Razi pertahan kerusi Pengkalan Kubor

Bernama
September 13, 2014 00:53 MYT
PM berharap Mat Razi (gambar) dapat pertahankan kerusi Pengkalan Kubor.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berharap calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor untuk BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.
"Saya yakin Ustaz Mat Razi merupakan calon BN yang paling 'sung' untuk PRK Pengkalan Kubor. Moga dapat mempertahankan kerusi BN," kata Najib yang juga Pengerusi BN dalam catatan di laman Facebook beliau.
Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Mat Razi, 48, bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat, sebagai calon BN bagi PRK itu 25 Sept ini.
Mat Razi yang juga anggota Jawatankuasa Umno Tumpat dipilih kerana beliau anak tempatan yang mempunyai banyak pengalaman dan jasa terhadap penduduk di DUN itu.
PRK itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 Sept.
#Barisan Nasional #Najib Razak #Pengkalan Kubor #PRK