PM dua penggal: Cadangan Mukhriz tidak berasas - Hishammuddin
Astro Awani
September 23, 2016 18:53 MYT
September 23, 2016 18:53 MYT
Cadangan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja disifatkan tidak berasas.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan mengapa cadangan Mukhriz itu tidak dikemukakan sewaktu bapanya menjadi perdana menteri.
"Dia (Mukhriz) kena jawab balik kenapa ayah dia (Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah) selama 22 tahun? Kenapa dia (Mukhriz) tidak cadangkan masa ayahnya memimpin kita 22tahun?
"Sekarang bila ayah dia tidak memimpin, macam-macam cadangan. Tetapi kalau dia ikhlas sepatutnya cadangan itu mesti dibawa masa ayahnya memimpin kita," kata Hishammuddin pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan bersama kumpulan Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) Kanan Kawasan Kuching, di Pangkalan Udara Kuching, di sini hari ini.
Katanya, rakyat kini sedang melihat dan menilai tindakan dan matlamat para pemimpin negara.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditanya berkenaan cadangan Mukhriz agar seseorang perdana menteri hendaklah dilantik selama dua penggal sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam itu berkata, langkah tersebut bagi mengelak krisis pentadbiran.
Selain itu, Mukhriz turut mencadangkan had tempoh jawatan dalam parti bagi memberi laluan kepada muka baharu.
#cadangan perdana menteri dua penggal
#Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
#Datuk Seri Mukhriz Mahathir
#Tun Dr Mahathir Mohamad