PM Anwar tempelak pihak dakwa kerajaan gagal urus ekonomi
Bernama
Julai 8, 2023 18:50 MYT
Julai 8, 2023 18:50 MYT
ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak-pihak tertentu yang mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau gagal menguruskan ekonomi negara setelah mengambil alih kerajaan sejak lapan bulan lepas.
Beliau berkata beberapa indikator ekonomi menunjukkan sebaliknya termasuk kadar pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus yang dicatat pada suku pertama tahun ini iaitu lebih tinggi berbanding China, Singapura dan Indonesia.
"Fakta nombor dua, kadar pengangguran turun (cuma) masalahnya (terdapat) sedikit pengangguran dalam kalangan belia termasuk graduan tetapi kadar pengangguran lebih baik daripada semasa kerajaan Perikatan Nasional.
"Fakta yang ketiga, pelaburan suku tahun pertama (tahun ini) yang masuk RM71 bilion, ini bukan soal menandatangani semata-mata... tidak, saya pergi negara China, yang bagi aku janji untuk bersama-sama melabur RM170 bilion, antara yang terbesar dalam sejarah untuk Malaysia ini," katanya semasa program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia hari ini.
Perdana Menteri berkata selain itu, kadar inflasi menurun dan berada pada kadar 2.8 peratus sekali gus membantu mengawal kenaikan harga barang walaupun beberapa indeks harga masih tinggi.
Beliau berkata hanya satu indikator ekonomi iaitu nilai ringgit yang jatuh dijadikan sebagai ukuran oleh pihak-pihak tertentu untuk mengatakan bahawa kerajaan gagal menguruskan ekonomi.
"Tapi orang yang belah sana bising, masa dia (memerintah) ringgit kuat ke? Masa dia ringgit lagi teruk berbanding sekarang, tetapi dia tak sebut.
"Faktor ekonomi ini ada berapa? Pertumbuhan, pengangguran, inflasi, pelaburan dan ringgit, ada lima. Kalau kita cemerlang empat (faktor), satu itu kita baikilah perlahan-lahan. Masa kamu dulu, kamu rosak empat faktor itu termasuk ringgit," katanya.
Anwar juga berkata sebagai Menteri Kewangan, beliau tidak pernah mengetepikan peranan Kerajaan Negeri khususnya di bawah pemerintahan pembangkang dalam soal pembangunan ekonomi.
"Kerajaan negeri jika sehaluan (dengan Kerajaan Persekutuan) maka lebih senang, apatah lagi jika pimpinannya sopan dan bijak dalam menjaga hubungan, maka itu akan lebih membantu.
"Contohnya Kedah, yang tertinggi pelaburan itu adalah di Taman Teknologi Tinggi Kulim yang hampir keseluruhan pelaburan dibawa kepadanya dibantu Kerajaan Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA