PM Anwar pengerusi Mesyuarat Khas Kabinet pertama

Hasimi Muhamad
Disember 5, 2022 11:00 MYT
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama beliau sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
Mesyuarat khas berkenaan yang dijadual pada 10 pagi turut dihadiri kesemua 27 menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Perdana Menteri dilihat tiba sekitar pukul 8.06 pagi.
Turut dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra ialah Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan & Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata mesyuarat khas berkenaan akan melibatkan penetapan peraturan baharu.
Antara peraturan berkenaan adalah berkaitan cara mengurus kementerian, cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam, penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.
Selain itu, mesyuarat khas dijangka memberi tumpuan khusus pada isu menangani kenaikan kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini dan berkaitan subsidi.
Pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 pada 27 November lalu, Perdana Menteri memaklumkan memberi tempoh dua minggu kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk memperincikan pelbagai isu berkaitan subsidi rakyat.
#Anwar Ibrahim #Mesyuarat khas Kabinet #PM10 #Pantau Kerajaan Baharu
;