PM Anwar jumpa PKR Pulau Pinang, Kedah, Perlis

Sinar Harian
Februari 15, 2024 22:18 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri perjumpaan bersama pimpinan PKR Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di sebuah hotel di Seberang Jaya, pada Khamis. - Sinar Harian
BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri perjumpaan bersama pimpinan PKR Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di sebuah hotel di Seberang Jaya, pada Khamis.
Presiden PKR itu yang tiba pada jam 9.10 malam memulakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis menerusi mesyuarat tertutup dan disusuli dengan mesyuarat bersama MPN Kedah dan Pulau Pinang.
Turut hadir mesyuarat berkenaan, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Bagaimanapun kelibat Pengerusi MPN bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Nurul Izzah Anwar tidak kelihatan di hotel berkenaan.
Sementara itu, dalam lawatan kerjanya sehari di Pulau Pinang pada Jumaat, Perdana Menteri akan memulakan jadualnya ke Jualan Termurah Madani di Bandar Perda pada jam 7.30 pagi, seterusnya beliau akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau seterusnya akan mengadakan pertemuan empat mata bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi di Seri Mutiara.
Perdana Menteri kemudiannya dijadual akan menunaikan solat Jumaat serta menghadiri kenduri rakyat di Masjid Tengah Berapit, Permatang Pauh.
Sejurus selepas itu, beliau akan merasmikan Karnival Pemerkasaan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, sebelum mengakhiri lawatannya ke Majlis Pecah Tanah, Taman Perindustrian Batu Kawan dan pulang semula ke ibu negara pada sebelah malam.
- Sinar Harian
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #perjumpaan #PKR #Majlis Pimpinan Negeri #MPN
;