PM akui wujud komplot jatuhkan kerajaan

Umavathi Ramayah
Mei 1, 2023 13:47 MYT
Anwar Ibrahim hadir pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
Namun, katanya, komplot itu tidak ada asas yang kukuh.
“Komplot itu memang ada, tapi tak ada asas. Kita tumpu pada kerja. Kalau tak ada komplot dia kerja apa?
“Ini dia jalankan tugas dia, setiap bulan dia ada strategi dia (cubaan jatuhkan kerajaan).
"Jadi Insya-Allah setakat yang kita pantau, keadaan cukup kuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud pihak yang merancang untuk menggulingkan kerajaan.
Perdana Menteri berkata gabungan empat parti politik utama dalam kerajaan Perpaduan adalah cukup kuat dan berupaya untuk menangkis komplot menjatuhkan kerajaan.
“Yang penting Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk yang lain seperti Parti Warisan (Warisan), yang empat ini komitmennya cukup jelas.
"Jadi tumpu kerja,” kata Anwar.
Dalam pada itu, ketika berucap pada masa majlis itu, Perdana Menteri menyeru warga pekerja untuk sebaris dalam memerangi rasuah di negara ini.
Anwar berkata ketika beliau mengambil alih kerajaan, keadaan kewangan negara parah dengan hutang RM1.5 trilion yang sebahagian disebabkan oleh ekonomi dan juga 'perompak'.
"Kalau mahu ekonomi berkembang, hasil berkembang, kena lawan dan hapus perasuah besar.
"Saya mahu pekerja sama barisan dengan saya, bangkit dan perang terhadap golongan yang merasuah," katanya.
Anwar berkata langkah penjimatan yang diambil kerajaan serta usaha memerangi rasuah akan membolehkan hasil negara bertambah sekali gus rakyat mendapat manfaat daripadanya.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #gabungan empat parti politik utama #komplot menjatuhkan kerajaan
;