PM adakan pertemuan dengan pemimpin Bersatu
Sinar Harian
Ogos 6, 2019 08:10 MYT
Ogos 6, 2019 08:10 MYT
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari parti itu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Twitternya.
"Kami memberikan sokongan penuh kepada Tun Mahathir dan akan fokus kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami.
"Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua," katanya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyatakan lokasi dan tujuan pertemuan diadakan.
Sebelum ini, beberapa pimpinan Bersatu dari Selangor dan Johor mengeluarkan kenyataan mahu Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14.
Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan pembangkang akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Kenyataan Abdul Hadi turut disokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dr Mahathir dalam maklum balasnya berkata beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.
#Abdul Hadi Awang
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Bersatu
#janji
#Mahathir Mohamad
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#Perdana Menteri
#perjumpaan tertutup
#pilihan raya umum
#PPBM
#serah jawatan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Twitter