Platform 'Deklarasi Mahathir' bawa agenda bebaskan Anwar
Bernama
Mac 8, 2016 08:10 MYT
Mac 8, 2016 08:10 MYT
Pakatan Harapan kini jelas menggunakan platform 'Deklarasi Mahathir' untuk membawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara kerana kesalahan meliwat.
Agenda ini tidak terkandung dalam deklarasi asal yang ditandatangani dan diumumkan Jumaat lepas.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata agenda itu akan menjadi agenda utama dalam perhimpunan mansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia pada 2 April ini.
"Pakatan Harapan hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama agenda reformasi yang lain," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.
Jumaat lepas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 58 orang menandatangani deklarasi itu, menyokong penyingkiran Najib daripada jawatan perdana menteri.
Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang.
Dr Wan Azizah juga mendakwa Dr Mahathir sebenarnya memerlukan sokongan pembangkang dalam membawa agenda menyingkirkan Najib berbanding persepsi bahawa pembangkang menumpang pengaruh bekas perdana menteri itu.
"Dr Mahathir tidak kuat dan beliau memerlukan bantuan kami," katanya.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#GST
#Pakatan Harapan kini jelas menggunakan platform 'Deklarasi Mahathir' untuk membawa agenda pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara kerana kesalahan meliwat