PKR: Tugas, tanggungjawab adalah amanah dengan matlamat bawa perubahan yang bermakna

Bernama
April 4, 2023 23:08 MYT
Dalam hantaran di Facebook hari ini sempena ulang tahun PKR yang ke-24 Anwar berkata parti itu berpasak atas semangat islah yang kuat. - Gambar fb @Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mengingatkan ahli parti bahawa tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti dipikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.
Dalam hantaran di Facebook hari ini sempena ulang tahun PKR yang ke-24 Anwar berkata parti itu berpasak atas semangat islah yang kuat.
"Selalu saya ingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan," katanya.
Menurut Anwar justeru hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan.
Beliau turut mengucapkan selamat ulang tahun PKR yang ke-24 kepada seluruh anggota dan pimpinan PKR.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menerusi Facebook beliau berkata PKR merupakan parti yang sentiasa memperjuangkan nasib semua lapisan rakyat tidak mengira agama, bangsa mahupun jantina.
"Semoga PKR terus maju dan kukuh demi Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Facebook #PKR #Amanah
;