'PKR tolak PRN Pulau Pinang kerana rakyat cemuh DAP' - Syed Ali

Astro Awani
Julai 28, 2016 18:44 MYT
SYED ALI: 'PKR tolak PRN Pulau Pinang kerana rakyat cemuh DAP' - Gambar fail
Pakatan pembangkang sebenarnya tidak yakin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang jika diadakan secara mengejut seperti yang dicadangkan DAP.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, PKR enggan menyertai PRN kerana menyedari sokongan majoriti rakyat negeri itu terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sudah terhakis.
"Senario itu membuktikan usaha DAP untuk menyelamatkan 'nyawa politik' Guan Eng yang sedang berdepan dengan kes rasuah, tidak akan menjadi kenyataan," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Menurutnya, usaha DAP mahu mengadakan PRN secara mengejut sebagai salah satu referendum berkaitan Guan Eng yang didakwa atas pertuduhan melakukan rasuah.
"DAP terpaksa mencari formula baru bagi menyelamatkan kedudukan Guan Eng walaupun menyedari agak sukar untuk mempertahankan kemenangan sepertimana diperolehi pada PRU ke-13.
"PKR sebenarnya belum bersedia untuk menyerahkan mandat kepada rakyat di Pulau Pinang menerusi PRN kerana sedar rakyat negeri itu mula meragui kepimpinan kerajaan DAP.
"Percanggahan pendapat antara DAP-PKR jelas menunjukkan pakatan pembangkang sehingga kini masih belum mencapai persafahaman yang kukuh untuk menyekat kebangkitan sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) di negeri itu," jelasnya.
Syed Ali memberitahu, keengganan PKR bersetuju dengan DAP untuk mengadakan PRN kerana menyedari peluang pakatan pembangkang untuk memenangi beberapa kerusi DUN agak tipis.
"Perbalahan PKR-DAP sukar untuk dileraikan dan keadaannya menjadi semakin parah apabila PAS mengambil pendirian untuk tidak menjalin sebarang kerjasama dengan parti pembangkang berkenaan.
"DAP kini hanya mengharapkan sokongan daripada parti AMANAH pimpinan Mohamad Sabu yang kehadirannya ternyata tidak disenangi oleh pengundi Melayu," ujarnya.
Mengulas lanjut, Syed Ali memberitahu perkembangan di Pulau Pinang itu bagaimanapun memberi kesempatan untuk UMNO dan BN memperkukuhkan kedudukan dan keyakinan penduduk setempat.
"Bagaimanapun, UMNO dan BN tidak boleh memandang mudah dengan situasi politik yang berlaku di Pulau Pinang yang membabitkan kerjasama yang meruncing antara DAP-PKR.
"UMNO dan BN di Pulau Pinang perlu bersiap-siaga dan bekerja keras untuk memastikan kerajaan negeri tersebut bertukar tangan," tegasnya.
#BN #DAP #Guan Eng #PRN #Syed Ali #UMNO
;