PKR terus pertahankan Anwar Ibrahim, tolak politik keji - Azmin

Firdaus Azil
Disember 5, 2019 00:11 MYT
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memukul gong bagi menyempurnakan gimik perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK di MITC Ayer Keroh, malam ini. - Foto BERNAMA
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mempertahankan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari serangan politik keji dan jijik, kata timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, pimpinan tertinggi parti telah melihat dan mendengar penjelasan Anwar, berhubung dakwaan Muhammed Yusoff Rawther mengenai kejadian serangan seksual, dan akan terus menolak budaya politik kotor.
“Kita mahu pihak yang tak setuju harus berdepan dengan hujah dan wacana yang sihat, bukan terjemurus dengan amalan fitnah dan keji.
“Saya kira Anwar, telah ambil langkah wajar, termasuk membuat laporan polis dan kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk lakukan siasatan. Dan siapa yang terlibat dalam budaya ini mesti dihukum, kerana kita mahu sebuah suasana masyarakat yang bersih daripada budaya politik kotor,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan, di sini malam ini.
BACA: Azmin nafi hubungannya dengan Anwar tegang
BACA: Perselisihan faham dalam PKR perkara biasa - Azmin
Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu, mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.
BACA: "Yusoff Rawther mangsa permainan politik" - Mohideen
BACA: Dakwaan mencabul: Anwar nafi, sifatkan niat jatuhkan imejnya
Bagaimanapun, Anwar dalam satu kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut selain membuat laporan polis menerusi Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad.
Ditanya sekiranya isu itu akan mengganggu kelancaran perjalanan kongres parti antara 5 hingga 8 Disember ini, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin perwakilan akan terus fokus pada dasar perjuangan PKR selaku parti tunjang Pakatan Harapan.
“Kita tumpu pada isu dasar, masa depan negara, masa depan rakyat, kerana rakyat hari ini mengalami kesusahan. Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai sebuah kerajaan bagaimana langkah untuk bantu rakyat yang perlukan bantuan,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #budaya politik kotor #kongres nasional PKR #Kongres PKR 2019 #Mohamed Azmin Ali #muhammed yusoff rawther #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PKR #politik keji dan jijik
;