PKR terima lebih 70,000 permohonan ahli baharu sejak November 2021
Bernama
Februari 1, 2022 16:58 MYT
Februari 1, 2022 16:58 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima sejumlah 78,093 permohonan untuk menjadi anggota baharu parti itu sejak 24 Nov tahun lepas sehingga 31 Jan lalu.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata anggota yang telah berdaftar sehingga 31 Jan itu akan dibentangkan kepada Cabang untuk proses semakan dan bantahan dibuat sebelum senarai ini dimasukkan ke dalam Daftar Anggota Induk Parti.
Katanya proses itu dibuka bermula 3 sehingga 9 Feb, dan jika terdapat bantahan Cabang boleh mengemukakan bantahan kepada Pejabat Setiausaha Agung sebelum atau pada 9 Feb.
"Kesemua bantahan yang dikemukakan mengikut tempoh yang ditetapkan akan diproses dan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat.
"Keputusan Majlis Pimpinan Pusat ke atas setiap bantahan yang diterima adalah muktamad. Ibu pejabat akan mengeluarkan Daftar Anggota Induk yang lengkap seawal 18 Feb dan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti bagi melengkapkan Daftar Pemilih untuk kegunaan Pemilihan Parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan sebagai berkata setakat Ogos 2020 keanggotaan parti itu telah mencecah 1,004,629 orang.
-- BERNAMA