PKR tarik balik penggantungan Iswardy
Shafik Ahmad
Januari 18, 2023 15:52 MYT
Januari 18, 2023 15:52 MYT
KUCHING: Keahlian Iswardy Morni dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikembalikan selepas didapati tidak bersalah atas pelbagai tuduhan berkaitan kenyataan berbaur hasutan tahun lalu.
Iswardy dalam ciapan di Twitter berkata penggantungannya ditarik balik dan keahlian dikembalikan.
“Alhamdulillah, saya tidak bersalah dalam semua pertuduhan. Penggantungan saya ditarik balik, dan keahlian saya telah dikembalikan. Forgive, don’t forget. Saya kembali," tulisnya di Twitter.
Iswardy sebelum ini berdepan tindakan digantung keahlian kerana mengkritik kepimpinan PKR di media sosial dan membuat kenyataan yang dianggap berbaur hasutan terhadap presiden dan setiausaha agung parti.
Untuk rekod, pada 29 Mei 2022, Iswardy ditahan selepas videonya yang mengkritik Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan berhubung pengurusan COVID-19 tular di media sosial.
Ketika prosiding beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Jun 2022 atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook.
Biarpun digantung, peguam yang berpangkalan di Semenanjung itu aktif membantu kempen pilihan raya di beberapa kawasan parlimen dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.