PKR sedia sepenuhnya untuk PRU14 - Azmin
Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2017 19:33 MYT
Mei 21, 2017 19:33 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bersedia sepenuhnya untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata hubungan tegang antara PKR dan Pas bukanlah alasan untuk melemahkan parti itu pada PRU14.
"Kalau tengok pada pembahas-pembahas juga mereka menggunakan forum untuk memberi pandangan macam mana untuk kukuhkan Keadilan serta muafakat politik.
"Jadi kita kena gerak ke hadapan dan kita bersedia dalam apa juga keadaan kerana kita telah lama bersiap sedia," katanya pada media selepas penutupan Kongres Tahunan Keadilan Ke-12 di sini hari ini.
Tambahnya, kedudukan tiga Exco Pas di Selangor juga kekal selain akan mengadakan perbincangan dengan parti itu dalam masa terdekat susulan keputusan Biro Politik Keadilan tempoh hari.
Sebelum itu, ketika berucap, Mohamed Azmin langsung tidak menyebut mengenai Pas.
Malah, beliau juga tidak langsung menyindir atau berkias mengenai apa-apa yang membabitkan bekas rakan sekutunya.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut tidak memberi sebarang respon berhubung tiga exco Pas di Selangor.
Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Mohamed Azmin.