PKR Sabah pertahan DUN Inanam dan Api-Api pada PRN17 - Mustapha
Bernama
Julai 22, 2024 22:30 MYT
Julai 22, 2024 22:30 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dan Api-Api yang dimenangi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lepas pada PRN ke-17 (PRN17).
Mustapha berkata walaupun menyedari banyak parti turut mengintai dua DUN berkenaan, namun PKR tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan kerusi itu.
"...dan kita akan pastikan, akan ada tambahan, kita tidak mahu ada dua sahaja, akan ada tambahan," katanya, namun enggan mendedahkan bilangan kerusi tambahan dan kawasan DUN yang diinginkan.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian pada sidang media mengenai program Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah di sini hari ini.
Mengenai spekulasi beliau akan bertanding kerusi DUN pada PRN17 akan datang, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata beliau akan mempertimbangkannya dan akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.
Mengulas mengenai kriteria rakan kerjasama PKR Sabah pada PRN17 nanti, Mustapha berkata PKR lebih cenderung kepada kualiti kepimpinan dan keupayaan sesebuah parti dalam menjaga kepentingan rakyat.
"Saya tidak mahu polemik, ini parti Malaya, parti lokal atau parti nasional. Bagi saya sekarang, apa pun partinya, yang penting kita dapat melahirkan pemimpin berkualiti yang boleh menjaga rakyat," katanya.
-- BERNAMA