PKR patut angkat Wan Azizah - Azan
Sinar Harian
Julai 20, 2018 08:59 MYT
Julai 20, 2018 08:59 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail patut diangkat ke peringkat tertinggi dari segi hierarki dalam PKR kerana wanita itu disifatkan bukan sahaja pengasas dan tonggak utama dalam perkembangan PH dan PKR, tetapi juga simbol wanita negara.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berpendapat, beliau (Dr Wan Azizah) yang menjadi simbol wanita negara Malaysia baharu kerana pemegang rekod sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) wanita pertama dalam tempoh 60 tahun, harus diletakkan di satu posisi yang juga signifikan dalam parti.
“Ia sesuai dengan kedudukan Dr Wan Azizah sebagai TPM dan sekarang lebih menumpukan isu pembangunan menyeluruh wanita seluruh negara dengan portfolio Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga.
“Dalam kes ini, jawatan Ketua Umum PKR yang tidak dipertandingkan adalah sesuai kepada Dr Wan Azizah dari segi hierarki tetapi sayang ia tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu sidang media bersama pemberita, di sini.
Azan berkata demikian selepas ditanya wartawan berhubung di mana kedudukan yang layak bagi Dr Wan Azizah sekiranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Presiden PKR kelak.
#Anwar Ibrahim
#Azan Ismail
#bertanding
#hierarki
#Ketua Umum
#pemilihan parti
#PKR
#Rekod
#Timbalan Perdana Menteri
#Wan Azizah Wan Ismail
#wanita