PKR nafi keluarkan surat tawaran kepada Khalid

Astro Awani
Ogos 6, 2014 12:16 MYT
Saifuddin Nasution tidak mengeluarkan sebarang surat tawaran kepada Abdul Khalid
PKR hari ini menafikan ada mengeluarkan sepcuk surat tawaran kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut politik di selangor.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak mengeluarkan sebarang surat tawaran kepada Abdul Khalid.
“Saya menerima beberapa panggilan media berkenaan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan Datuk Saifuddin kepada Tan Sri Khalid.
“Saya telah menghubungi Datuk Saifuddin dan mendapat pengesahan bahawa beliau tidak mengeluarkan surat tersebut. Malah nombor rujukan yang digunakan juga adalah nombor rujukan palsu; “JKD” merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin, dan Datuk Saifuddin tidak menandatangani surat jawatankuasa tersebut,” katanya.
PKR, kata Fahmi mengecam pihak yang mengeluarkan surat palsu tersebut.
“Jelas ia berniat jahat dan berusaha untuk menimbulkan syak wasangka dan ingin merosakkan usaha menyelesaikan masalah di Selangor dengan baik dan tertib,” katanya lagi.
Surat palsu dengan tajuk “Penyelesaian Bersama Langkah Kajang” kononnya ditandatangani Saifuddin itu bertarikh 5 Ogos 2014.
Surat tersebut dikatakan menawarkan Abdul Khalid bayaran RM30,000 sebulan jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.
Surat palsu yang dikatakan dikeluarkan oleh PKR menawarkan penyelesaian kepada Abdul Khalid
Kandungan surat itu juga memuatkan tawaran imbuhan kepada Abdul Khalid yang yang akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatannya sekarang.
Abdul Khalid juga ditawarkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor jika beliau melepaskan jawatan MB.
#DAP #MB Selangor #PAS #PKR