PKR lancar aplikasi Adil untuk pemilihan parti
Bernama
Mac 4, 2022 19:31 MYT
Mac 4, 2022 19:31 MYT
PETALING JAYA: PKR hari ini secara rasmi melancarkan aplikasi Adil yang akan diguna pakai untuk mengemas kini daftar pemilih serta digunakan dalam pemilihan parti Mei depan.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis peluncuran aplikasi Adil di ibu pejabat PKR di sini berkata pemilihan parti kali ini akan berlangsung secara hibrid iaitu secara fizikal dan digital bagi memberi pilihan kepada ahli parti.
"Pemilihan kali ini perlu bagi memantapkan parti yang kini mempunyai keahlian 1.2 juta untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa berkata ahli PKR yang mendaftar sebelum 31 Jan tahun ini, layak mengundi secara digital walau di mana mereka berada dengan syarat mereka mendaftar di aplikasi Adil sebagai pengundi dalam talian.
Beliau menjelaskan pemilihan secara fizikal akan berlangsung terlebih dulu sebelum mereka yang mendaftar di aplikasi Adil boleh mengundi dalam talian.
"Sehubungan itu, tidak timbul mana-mana ahli boleh memilih dua kali kerana mereka yang mendaftar untuk memilih secara dalam talian tidak akan disenaraikan sebagai pemilih secara fizikal," katanya.
Aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.
-- BERNAMA