PKR lancar 'ADIL apps' persediaan pemilihan parti
Sinar Harian
Februari 3, 2022 07:00 MYT
Februari 3, 2022 07:00 MYT
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melancarkan aplikasi ‘ADIL apps’ bagi membolehkan anggota mengemas kini maklumat kendiri dan mula mendaftar untuk mengundi secara dalam talian semasa proses pemilihan parti.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, anggota boleh memuat turun aplikasi tersebut melalui Apps store dan Google Play Store.
Katanya, tarikh penerimaan keanggotaan dan pertukaran cabang ditutup pada 31 Januari lalu dan pejabat Setiausaha Agong mengesahkan bahawa penerimaan permohonan keanggotaan baharu mencecah 78,093 orang bermula 24 November 2021 sehingga 31 Januari 2022.
“Ini merupakan pertambahan besar daripada jumlah 1,004,629 pada Ogos 2020.
"Pada pemilihan kali ini, JPP menjangkakan jumlah keluar mengundi melebihi jumlah 200,000 anggota yang keluar dalam pemilihan 2018 kerana sistem pemilihan hibrid yang menggabungkan pemilihan secara dalam talian dan fizikal lebih memudahkan mereka untuk membuang undi dari mana sahaja tanpa perlu hadir ke cabang keanggotaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Beliau berkata, pemilihan kali ini diharapkan mengetengahkan barisan kepimpinan lebih mantap, terangkum dari pelbagai latar belakang termasuk dalam kalangan anak muda dan srikandi, aktivis, profesional dan golongan agamawan serta gandingan muka baharu dan anggota senior parti.
Tambah Zaliha, ia bertepatan dengan tema pemilihan kali ini iaitu kembali melaras, membina dan memperkuat (Reset, Rebuild & Recharge).
“Senarai mereka yang boleh mengundi dimuktamadkan selepas 18 Februari ini, sekarang adalah fasa semakan dan bantahan jika ada, dari keseluruhan cabang dan sayap parti.
“JPP turut menggalakkan anggota parti untuk sentiasa cakna dengan segala perkembangan terkini daripada kami yang boleh diikuti daripada laman web rasmi parti dan Facebook rasmi pemilihan parti,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian