PKR Kelantan setuju serah kerusi DUN Pengkalan Kubor kepada PAS

Irwan Muhammad Zain
September 7, 2014 09:38 MYT
MUSTAFA ALI: PKR Kelantan setuju serah kerusi DUN Pengkalan Kubur kepada PAS
PKR Kelantan bersetuju memberi laluan kepada PAS bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan di antara PKR Kelantan dan PAS Kelantan.
Katanya, keputusan lanjut mengenai kerusi Dun Pengkalan Kubor akan diputuskan setelah perbincangan antara PAS Pusat dan PKR serta pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat.
"PAS dan PKR Kelantan pada dasarnya telah membuat pertimbangan, walaupun kerusi DUN Pengkalan Kubor dulu ditandingi PKR, tetapi mereka bersedia ia ditandingi oleh PAS.
"Bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.
Mustafa berkata, bagi membincangkan perkara tersebut, pimpinan PAS Pusat akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.
"Kita akan bertemu dalam masa terdekat untuk menimbang dan memutuskan perkara ini," katanya.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.
Noor Zahidi mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.
#BN #PAS #Pengkalan Kubur #PKR #PRK