PKR guna lambang sendiri bertanding di PRN Sabah - Anwar
Astro Awani
Ogos 20, 2020 21:43 MYT
Ogos 20, 2020 21:43 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menggunakan lambangnya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September nanti.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun parti itu menerima beberapa cadangan untuk menggunakan satu lambang namun PKR tetap memutuskan untuk menggunakan lambang parti sendiri.
"Memang kita ada terima beberapa cadangan (menggunakan satu lambang) pada PRN Sabah tetapi Keadilan telah memutuskan untuk menggunakan lambang sendiri.
"Selain itu kita akan berunding bersama Parti Warisan untuk pembahagian kerusi, kerana itu adalah tradisi supaya pembahagian kerusi lebih adil, dan kita akan memilih serta menentukan calon PKR yang berkelayakan dan berwibawa," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengisytiharan Keluar Parti Bersatu Cawangan Telok Kemang, Port Dickson dan Penyerahan Borang Keahlian Parti PKR di Tasik Villa di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan dakwaan kononnya enam ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (Amanah) akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pula sebagai satu perkara yang tidak berasas.
Menurut beliau, pihaknya setakat ini tidak mendengar mengenai perkara tersebut dan beranggapan bahawa itu hanya mahu melemahkan PH.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 600 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Teluk Kemang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PKR.
Bekas Ketua Cawangan Bersatu Teluk Kemang, Mohd Ibrahim Khan Amanulla Khan berkata, dia bersama ahli yang lain keliru dengan perkembangan politik Bersatu yang dianggap mengkhianati mandat rakyat.
Katanya, Bersatu tidak amanah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (PRU-14) lalu.
#Amanah
#Anwar Ibrahim
#calon
#Malaysia
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Parti Amanah Negara
#Parti Keadilan Rakyat
#PH
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PKR
#PN
#PPBM