PKR bermesyuarat malam ini bincang nasib Exco Pas Selangor

Hafiz Marzukhi
Mei 16, 2017 14:40 MYT
Sidang media sekretariat Pakatan Harapan dijalankan di ibu pejabat PKR di Damansara berkaitan isu semasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Situasi politik di Selangor membabitkan Exco kerajaan negeri dari Pas akan dibincangkan PKR dalam mesyuarat biro politiknya malam ini.
Namun, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah tidak dapat memberi perincian jelas mengenai perbincangan tersebut.
"Perkara tersebut akan dibincangkan malam ini dalam mesyuarat biro politik," kata Saifuddin.
Apabila ditanya jika Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR akan menghadiri mesyuarat terbabit, Saifuddin tidak dapat memastikan perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, akaun Twitter Menteri Besar Selangor menunjukkan Azmin sedang berada di luar negara bagi lawatan kerja.
Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.
Sejak perkara itu diputuskan, Azmin belum memberi sebarang kenyataan tentang nasib tiga Exco Pas yang berada dalam barisan Kabinet negeri Selangor.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau telah bertemu dengan tiga exco berkenaan dan sehingga ini parti itu tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan supaya mereka meletak jawatan oleh Menteri Besar Selangor.
#Azmin Ali #Exco #Pakatan Harapan #PAS #PKR #politik #Saifuddin Abdullah #tahaluf siyasi
;