PKR beri amaran jangan guna dana awam untuk bayar hutang 1MDB

Irwan Muhammad Zain
Mei 12, 2015 16:43 MYT
Rafizi (gambar) berkata pinjaman yang dibuat oleh 1MDB itu dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian pasaran kewangan antarabangsa. - Gambar Fail
PKR hari ini memberi amaran kepada kerajaan pusat agar tidak menggunakan dana awam bagi menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada konsortium enam bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata hutang berjumlah RM3.6 bilion itu dibuat Oktober tahun lepas, perlu dibayar selewat-lewatnya September tahun ini.
Rafizi berkata pinjaman yang dibuat oleh 1MDB itu dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian pasaran kewangan antarabangsa di saat firma pelaburan tersebut berhadapan dengan masalah membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.
"Saya cuba mengumpul maklumat tidak rasmi daripada pemberi maklumat yang bekerja di bank-bank terbabit dan daripada pasaran kewangan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini.
"Maklumat tidak rasmi yang saya dapati amat membimbangkan kerana terma pinjaman itu amat membebankan rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, cagaran-cagaran pinjaman itu adalah wang simpanan 1MDB di BSI Singapura yang sebelum ini telah dilaporkan tidak wujud.
Katanya, jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut
"Saya dimaklumkan satu surat sokongan dikeluarkan oleh Putrajaya yang membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apa terma-terma surat sokongan itu?" soalnya.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu turut mempersoalkan kadar faedah yang dikenakan dalam tempoh setahun tersebut.
"Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun adalah 11% seperti dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar 'overdraft' dan menunjukkan terdesaknya 1MDB," katanya.
Rafzi juga bimbang jika pinjaman yang dibuat oleh 1MDB ini merupakan satu lagi "bail out" yang terpaksa ditanggung rakyat susulan hutang berkenaan perlu dibayar dalam tempoh terdekat ini.
"Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urus niaga yang merugikan rakyat akan berlaku," katanya.
Beliau memberi dua contoh kerajaan terpaksa menyuntik wang firma pelaburan itu, antaranya adalah pada Mac 2015 lalu, apabila kerajaan terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk "standby credit" yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.
Selain itu, pada Mei 2015, Lembaga Tabung Haji membeli hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.
"Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar 1MDB menjelang September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini," katanya.
#1MDB #PKR #Rafizi Ramli
;