PKR belum bincang khemah besar - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Mei 7, 2022 18:15 MYT
Saifuddin (kiri) sewaktu sidang media selepas melancarkan Gagasan #KitaSemuaKeadilan, di Petaling Jaya pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah membincangkan sebarang pendekatan khemah besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang, setakat ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia termasuk pendirian untuk menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tegas beliau lagi, keputusan untuk bergerak solo, berunding, perang atau menjalin kerjasama akan ditentukan oleh kepimpinan baharu yang bakal terbentuk pada 22 Mei ini.
“Perkara khemah besar tidak pernah dibincangkan dalam MPP atau dalam biro politik.
“(Kerjasama dengan Bersatu), Sehingga perkara itu berlaku, barulah Keadilan akan menentukan sikap atau pendirian. Buat masa ini itu belum lagi berlaku,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Gagasan #KitaSemuaKeadilan, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, yang juga calon Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, calon Timbalan Presiden Keadilan itu berkata perspektif untuk mengembalikan semula hala tuju parti adalah formula kemenangan dan bukan pilihan individu.
Sebaliknya, beliau menambah ia melibatkan konsensus dan perbincangan dengan pelbagai pihak.
Selain itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata PKR tetap berpegang kepada konsep keterbukaan.
"Kerana keterbukaan juga yang membolehkan sosok macam Adam Adli walaupun relatifnya baharu menyertai parti tetapi idealisme yang dia bawa itu sudah lama sebati dengan perjuangan Keadilan.
"Fadhilna Sidek seorang aktivis yang membawa isu-isu kanak-kanak, wanita, serta kekeluargaan yang sekarang memilih ikut serta dalam kepimpinan utama parti kerana sikap keterbukaan Keadilan yang tidak menentukan syarat (tempoh penglibatan)," ujarnya lagi.
#Khemah Besar #Setiausaha Agung PKR #Saifuddin Nasution Ismail #PRU15 #Anwar Ibrahim #Bersatu
;