PKR anjur Konvensyen PRU15 Sabtu ini

Bernama
Ogos 23, 2022 09:17 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya 2022 pada Sabtu ini sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya 2022 pada Sabtu ini sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 G. Manivanan berkata penyertaan terbuka kepada semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, Angkatan Muda Keadilan, Wanita, Srikandi, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, aktivis parti, akar umbi termasuk sukarelawan parti.
"Semua peserta digalakkan mendaftarkan diri lebih awal melalui 'Google Form' yang disediakan manakala pendaftaran pada hari konvensyen akan bermula pada 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Manivanan konvensyen terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen pertama suara akar umbi dan segmen kedua, suara pimpinan terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli.
-- BERNAMA
#PKR #Konvensyen PRU15 #Parti Keadilan Rakyat #pilihan raya umum #G Manivanan