PKR akan mohon agar Anwar Ibrahim dibenarkan hadiri sidang parlimen - Rafizi

Astro Awani
Februari 25, 2015 19:02 MYT
RAFIZI : Sebagai Ketua Pembangkang, Anwar wajar dibenarkan untuk hadir menghadiri sidang Parlimen yang akan datang bermula 9 Mac 2015 ini. - Gambar fail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berusaha memohon agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan menghadiri sidang Parlimen susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia, bahawa kerusi parlimen Permatang Pauh tidak dikosongkan sehingga proses permohonan pengampunan Diraja selesai.
Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata parti itu akan cuba memohon Anwar untuk dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat bagi sidang Parlimen yang akan datang.
“Sebagai Ketua Pembangkang, Anwar wajar dibenarkan untuk menghadiri sidang Parlimen yang akan datang bermula 9 Mac 2015 ini.
“Oleh yang demikian, Sekretariat Parlimen KEADILAN di bawah Datuk Johari Abdul akan berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan peguam-peguam Anwar Ibrahim bagi mendapatkan kebenaran membolehkan beliau hadir sebagai Ketua Pembangkang di sidang Parlimen akan datang,” tambah Rafizi.
Rafizi dalam satu kenyataan hari ini berkata persoalan pemilihan Ketua Pembangkang dan pilihan raya kecil juga tidak timbul ketika ini.
Dalam kenyataan itu juga, Rafizi berkata PKR memberi sokongan penuh kepada permohonan pengampunan Diraja yang dikemukakan keluarga Anwar pada Selasa.
Rafizi berkata parti itu memahami keputusan peribadi keluarga Anwar atas dasar kasih sayang anak-anak dan isteri kepada seorang bapa dan suami.
Semalam, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Nuha Anwar, telah menghantar permohonan itu ke Istana Negara dan seorang lagi anaknya, Nurul Izzah Anwar, telah menghantar satu surat rasmi untuk memaklumkan permohonan pengampunan Diraja itu, ke Parlimen.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lalu menolak rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.
Keputusan dicapai secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
#Anwar Ibrahim #Nurul Izzah Anwar #nurul nuha anwar #Rafizi Ramli #Wan Azizah
;