PKR: 4 anggota dipecat, 10 digantung keahlian

Astro Awani
Mei 21, 2014 14:46 MYT
Lembaga Disiplin Keadilan meneliti beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota.
Empat anggota parti Keadilan dipecat sementara 10 anggota lain digantung keahlian setelah Lembaga Disiplin Keadilan meneliti beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota.
Menurut laman KeadilanDaily.com, kes-kes ini telah dibentangkan semasa mesyuarat Biro Politik bertarikh 20 Mei 2014, yang dipengerusikan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan dihadiri Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta anggota-anggota Biro Politik yang lain.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Keadilan Datuk Dr Tan Kee Kwong, empat ahli yang dipecat adalah Radin Sharifuddin Mohamad Yasin dari Cabang Selayang, Kumara Guru A/L Retnasamy (Cabang Alor Setar), Zulkafli Abdullah (Cabang Hulu Selangor) dan Ahmad Jufliz Datuk Faiza (Cabang Setiawangsa).
Radin Sharifuddin dipecat kerana telah merempuh masuk ke dewan pengundian dan merampas kotak undi sewaktu proses pemilihan Cabang Selayang berlangsung pada 11 Mei, 2014.
Ketika proses pemilihan Cabang Kota Raja pada 11 Mei 2014, Kumara Guru telah mengambil beberapa kertas undi yang ditanda sendiri oleh beliau dan telah memasukkan kertas-kertas undi tersebut ke dalam peti undi walaupun beliau bukan anggota Cabang Kota Raja.
Zulkafli pula dipecat kerana menjerit dan menuduh Abdul Khalid Ibrahim dengan kata-kata ‘rasuah’ dan ‘penipu’ ketika sidang media yang diadakan di ibu pejabat Keadilan yang diadakan pada 17 Mei.
Ahmad Jufliz pula tidak mengendahkan amaran tatatertib yang dikeluarkan Lembaga Disiplin dan terus mengkritik parti secara terbuka.
Empah ahli digantung keahlian kerana mencetuskan kekecohan di dewan pengundian sewaktu proses pemilihan Cabang Selayang pada 11 Mei 2014.
Mereka adalah Shanmuganathan A/L Velu, Patmanathan A/L Nadarajan, Norizan Omar, dan Azman Yaakob.
Mereka yang digantung keahlian kerana membuat gangguan sepanjang proses pengundian berlangsung sehingga mencetuskan kekecohan ketika pemilihan Cabang Kota Raja pada 11 Mei, 2014 adalah Manugharan A/L Sellandy, Telai Amblam A/L Mariappan , DK Vicknesvaran A/L Krishnan, M Nageswaran A/L Munisamy, P Chandrasekaran A/L S Ponniah, Syed Ahmad Putra Syed Isa.
Saifuddin Shafi Muhammad diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa membocorkan laporan minit Mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui Twitter pada 14 Mei, 2014.
#Keadilan #PKR
;