PKP jadi cabaran Malaysia capai perkembangan ekonomi 6.7 peratus - HSBC
Astro Awani
Januari 13, 2021 15:00 MYT
Januari 13, 2021 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri pada awal 2021 menjadi antara faktor Malaysia berdepan cabaran mencapai perkembangan ekonomi 6.7 peratus tahun ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann bagaimanapun berkata, ia dijangka tidak lama dan sasaran itu tetap boleh dicapai sebelum penghujung tahun.
"Kita mempunyai jangkaan pertumbuhan tunai untuk Malaysia sebanyak 6.7 peratus tahun ini.
"Apa yang menjadikan ramalan itu adalah selepas berlaku pengecutan ekonomi pada kadar 5.4 peratus tahun lalu.
"Namun kini ada PKP di Malaysia dan pasti menimbulkan cabaran ekonomi pada awal tahun ini tetapi kami cukup yakin kesan ini akan hilang dan membolehkan negara mencapai kadar 6.7 peratus yang disasarkan," katanya semasa sidang Zoom pada Rabu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 6.7 peratus tahun ini, mengatasi 4.2 peratus jangkaan pertumbuhan ekonomi global, dipacu oleh kejayaan menangani gelombang ketiga COVID-19 serta pelaksanaan dan pengedaran vaksin yang efektif.
Bank Dunia menerusi laporan Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds, berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam mendepani COVID-19 juga akan menerajui pemulihan lebih pantas dari jangkaan dalam permintaan pengguna yang akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam pada itu kata Frederic, negara-negara ASEAN kini berdepan cabaran namun dijangka kembali pulih pada suku kedua tahun ini walaupun mengakui beberapa sektor mengalami kelumpuhan termasuk pelancongan.
Bank Dunia sebelum ini dilaporkan berkata, kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik dan pakej rangsangan yang dilaksanakan datang bersama kos yang perlu ditampung, dan ia menjangkakan defisit fiskal Malaysia akan meningkat kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK pada tahun 2020, sementara hutang kerajaan persekutuan telah bertambah kepada 60.7 peratus daripada KDNK.
#KDNK
#bank
#ASEAN
#COVID-19
#PKP
#pelancongan
#perintah kawalan pergerakan
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#ekonomi
#Malaysia
#pandemik
#Frederic Neumann
#PKP 2 0
#Bank Dunia