Pindaan Perlembagaan UMNO: RoS belum keluarkan keputusan - Hamzah
Fareez Azman
Julai 13, 2022 18:28 MYT
Julai 13, 2022 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan tarikh pemilihan parti.
Beliau menjelaskan, sebarang keputusan yang akan dikeluarkan jabatan itu adalah dibuat secara bebas.
"Buat masa ini saya difahamkan RoS belum keluarkan surat (keputusan) lagi, saya pun tak tahu.
"Betullah saya menteri yang mengawal RoS (RoS berada di bawah KDN), tetapi keputusan RoS dibuat secara bebas," jelasnya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuat permohonan untuk mempercepatkan proses berkenaan, beliau menyerahkan kepada RoS untuk berbuat demikian.
"Itu permohonan Perdana Menteri... kalau boleh bagi (keputusan) sebelum 16 Julai 2022, kita tak boleh salahkan Perdana Menteri sebab dia memohon kalau boleh percepatkan.
"Jadi kalau dia (RoS) boleh buat (cepat) dia buat... apa salahnya kalau dia boleh buat.
"Saya Menteri Dalam Negeri hanya (dirujuk) apabila perkara babit rayuan... itu boleh tanya saya, kerana rayuan mesti dibuat kepada Menteri Dalam Negeri, itu rayuan tapi bab aplikasi (permohonan) asal, itu saya tidak tahu," katanya lagi.
RoS dalam satu kenyataan media sebelum ini memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO itu akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.
Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas Mei lalu meluluskan secara rasminya usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Melalui pindaan itu, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.