Pindaan perlembagaan lulus: UMNO dijangka beri lebih tekanan pada PM untuk adakan PRU15

Rahimah Abdullah
Julai 30, 2022 16:50 MYT
Ismail Sabri dijangka akan menerima lebih banyak tekanan daripada UMNO bagi mengadakan PRU-15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menerima lebih banyak tekanan daripada UMNO bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap pindaan perlembagaan parti.
Penganalisis politik, Prof Madya Hamidin Abd Hamid berkata, kelulusan RoS itu memberi kelebihan kepada UMNO untuk memasuki gelanggang pilihan raya dengan lebih selesa.
"Saya kira ketika ini dengan jelas UMNO mempunyai kelebihan untuk memasuki pilihan raya yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja. Ini menunjukkan bahawa UMNO mampu bergerak ke pilihan raya dengan selesa dan untuk mengelakkan perpecahan.
"Jadi saya kira apa yang akan berlaku dalam UMNO ketika ini ialah lebih banyak tekanan yang akan diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri, seorang Naib Presiden UMNO supaya PRU diadakan bagi membolehkan UMNO memenangi sebanyak mana kerusi dan menjadi parti tunjang dalam negara selepas PRU15," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: RoS lulus pindaan Perlembagaan UMNO
Katanya, kelebihan yang akan diperoleh UMNO ialah tidak akan berlaku perpecahan parti yang jelas menjelang PRU15.
Dalam masa sama, pindaan dalam perlembagaan UMNO akan memberi ruang kepada kepimpinan dalam parti termasuk mereka yang mempunyai kes di mahkamah untuk bertanding pada pilihan raya umum itu.
"Dalam konteks ini, UMNO akan menuju PRU15 tanpa berlaku pertandingan (melalui pemilihan parti) dan memberikan kelebihan kepada pemimpin UMNO sedia ada ketika ini.
"Mereka walau mempunyai kes di mahkamah, namun dengan pengecualian kepada mereka untuk bertanding, dan pertandingan itu boleh dikemudiankan lagi, akan memberi ruang kepada mereka untuk mempunyai kuasa dan untuk mendapat tempat di PRU akan datang," ujarnya.
Pada Jumaat, media melaporkan, RoS bersetuju meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU dilaksanakan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelulusan itu berkuat kuasa pada 29 Julai 2022 (Jumaat).
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #UMNO #pilihan raya umum
;