Pindaan Perlembagaan DAP: Ahli Parlimen, ADUN lompat parti dicadang dilucut keahlian
Umavathi Ramayah
Ogos 3, 2022 15:47 MYT
Ogos 3, 2022 15:47 MYT
KUALA LUMPUR: DAP akan mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan parti yang mensyaratkan mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu untuk dilucutkan keahlian sekiranya mereka melompat parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia adalah selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan larangan lompat parti di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, DAP akan mengadakan Kongres Khas pada 25 September depan bagi membahaskan cadangan tersebut.
"Saya ada tanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kalau dalam Perlembagaan parti disebut seseorang ahli buat sesuatu dan dilucutkan keahlian, adakah itu dikira sebagai dia bukan lagi sebagai ahli dan bukannya dipecat.
"Apa yang dijawab beliau, kalau ada syarat itu terletak dalam Perlembagaan parti itu adalah antara parti dan ahli tersebut dan jika dia hilang keahlian sebagai ahli parti, maka kerusi itu perlu dikosongkan.
"Jadi dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), kita putuskan supaya DAP mengambil tindakan untuk meminda Perlembagaan parti supaya kita memastikan tidak ada mana-mana ahli Parlimen atau ADUN minta dipecat supaya tidak perlu mengosongkan kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, pada Rabu.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan meskipun DAP yakin pada ahli-ahli Parlimen dan ADUN parti itu namun cadangan pindaan itu adalah sebagai safeguard dan memperkuatkan pindaan Perlembagaan di peringkat Persekutuan.
Dalam pada itu Anthony memaklumkan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan itu akan diketuai Ahli Parlimen Stampin, Chong Cheing Jen yang diberi tanggungjawab untuk membincangkan perkara itu dengan teliti.
"Seterusnya jawatankuasa itu akan mengemukakan cadangan pindaan tersebut kepada jawatankuasa pusat dalam tempoh sebulan," ujarnya.
Beliau memberitahu, cadangan pindaan yang akan dibentangkan pada Kongres Khas itu bagaimanapun perlu mendapat persetujuan wakil yang hadir pada kongres itu.
Dalam pada itu ketika ditanya sama ada kompaun akan dikenakan ke atas mana-mana ahli Parlimen atau ADUN yang melompat parti, beliau menjelaskan DAP tidak akan berbuat demikian.
"Itu terpulang kepada parti lain, tapi bagi kita (DAP) apa yang berkesan adalah pindaan Perlembagaan parti di mana seseorang itu akan hilang keahlian kalau tidak ikut apa yang diputuskan (dalam parti)," tambahnya.
Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari membabitkan 54 Ahli Parlimen.
Semasa undi belah bahagi terhadap RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.