Pindaan had umur pengundi ke 18 tahun, pemimpin muda parti politik tuntut penjelasan SPR

Fareez Azman
Februari 24, 2021 20:35 MYT
Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 21 Jun 2019, seramai 1,524,052 juta pengundi muda akan terkesan dengan pindaan RUU terbabit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang meminda had umur mengundi ke 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 2019.
Gesaan itu disuarakan dalam satu surat terbuka oleh barisan pemimpin muda parti-parti politik Malaysia pada Rabu.
Jelas surat terbabit, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Ia antara lain bagi menurunkan umur seseorang warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Selain itu, RUU tersebut telah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.
"Melalui pindaan ini juga, pendaftaran warganegara sebagai seorang pengundi adalah secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun. Sepuluh hari kemudian, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti melebihi dua pertiga.
"Maka, dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, sepatutnya pilihan raya yang bakal menjelang kelak akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik," jelas surat terbuka itu.
Malah jelas surat itu lagi, menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 21 Jun 2019, seramai 1,524,052 juta pengundi muda akan terkesan dengan pindaan RUU terbabit.
SPR dalam laman sesawang rasminya pula menyatakan bahawa tarikh kuat kuasa pindaan bagi pindaan itu dalam tempoh 18 sehingga 24 bulan mulai September 2019.
"Sebagai pemimpin muda dalam sistem politik merentasi parti di negara ini yang mewakili anak muda, kami ingin mengajukan pertanyaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang hala tuju pelaksanaan Undi18.
"Kami bersedia untuk dijemput menghadiri sesi penerangan atau perbincangan bersama pihak SPR agar maklumat dan situasi semasa dapat kami sampaikan kepada golongan anak muda di dalam parti masing-masing," jelas surat itu.
Tambah mereka, adalah penting kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu diperakui semua pihak.
Namun dikhuatiri jika wujud sebarang tindakan melengah-lengahkan pelaksanaannya sekali gus menafikan hak anak muda mengundi dan memilih wakil rakyat mereka di Parlimen.
"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan demokrasi sejak merdeka, penafian hak anak muda hanya akan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia, "jelas surat itu lagi.
Surat terbuka itu ditandatangani Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin; Ketua Pemuda AMANAH Nasional; Shazni Munir Mohd Ithnin; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM); Sharan Raj; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.
Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamma; Ketua Pergerakan Generasi muda UPKO; Felix Joseph Sitin; Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah; Jo-Anna Sue Henley Rampa; Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan; dan Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
#UMNO #Dewan Rakyat #Dewan Negara #Suruhanjaya Pilihan Raya #Merdeka #undang-undang #rakyat #Parlimen #pilihan raya #politik #Amanah #AMK #Keadilan #UPKO #PSM #DAPSY Kebangsaan #Warisan #muda #SPR #Undi18 #RUU
;