Pimpinan, akar umbi PKR desak Anwar ambil tindakan terhadap ahli terlibat rosakkan parti

Bernama
Julai 23, 2019 04:07 MYT
PKR Johor percaya video intim itu adalah fitnah untuk menjatuhkan kredibiliti Azmin sebagai menteri kanan, dan Anwar perlu bertindak menyatukan seluruh ahli parti.
Gabungan Ketua Cabang dan Pimpinan Akar Umbi PKR Negeri Johor mendesak presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang terlibat dengan konspirasi atau fitnah untuk merosakkan parti.
Wakil gabungan berkenaan yang juga Ketua Cabang PKR Kluang, Mark Mathew berkata sudah tiba masanya untuk Anwar bertindak menyatukan seluruh ahli, serta tidak membiarkan individu tertentu merosakkan parti.
Beliau berkata pihaknya sangat kesal dengan tindakan beberapa individu yang telah ditahan reman sebelum ini berhubung 'fitnah' video lucah yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Kami semua percaya video itu adalah fitnah untuk menjatuhkan kredibiliti Azmin sebagai seorang menteri kanan, malah ia (fitnah) juga telah disahkan oleh Ketua Polis Negara pada Isnin.
"Kami menolak fitnah ini, sebagaimana fitnah yang dilontarkan kepada Anwar (Presiden) sebelum ini sebanyak dua kali iaitu membabitkan kes liwat dan China Doll," katanya dalam sidang media gabungan berkenaan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Pahat, pada Selasa.
Mark menjelaskan budaya politik kotor sebegini perlu ditolak habis-habisan kerana sekarang adalah sepatutnya masa untuk membina negara serta mendengar kepedulian rakyat bagi mencapai manifesto Pakatan Harapan (PH).
"Kita juga berharap agar pihak berkuatkuasa dapat mengenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada pelaku fitnah ini," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #budaya politik kotor #fitnah #konspirasi #liwat #Manifesto #Mark Mathew #menjatuhkan kredibiliti #Pakatan Harapan #PKR #PKR Johor #politik #rakyat #rosakkan parti #video
;