Pimpin kerajaan kini lebih sukar berbanding kali pertama jadi PM - Tun M
Wan Syamsul Amly
Oktober 22, 2018 18:57 MYT
Oktober 22, 2018 18:57 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui berhadapan kesukaran memimpin negara kini berbanding kali pertama pada tahun 1981.
Jelas Perdana Menteri, keadaan kerajaan pada masa itu dan negara semuanya tersusun selain hanya perlu membuat keputusan sebelum kerja dilaksanakan jentera kerajaan.
"Namun sebaliknya berlaku ketika ini apabila kerajaan yang ditinggalkan masa itu sangat teruk.
"Saya takut harapan rakyat, mereka fikir saya boleh buat apa sahaja benda sehingga berjaya. Namun saya akui saya bukan ahli silap mata yang boleh memulihkan serta mencipta kejayaan sekelip mata," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Minda Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabatnya di Seksyen 15 di sini, hari ini.
Dalam pada itu Dr Mahathir mengakui kerajaan kini berdepan kesukaran untuk membuat keputusan kerana perlu mengambil kira pandangan keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau menjelaskan terpaksa menyesuaikan pemikirannya dengan aliran sosialisme dan liberalisme dalam kalangan pemimpin PH.
"Kita perlu buat penilaian untuk tentukan keadaan, sekarang berbeza, saya cuba sesuaikan keadaan. Hendak buat macam dulu tidak berjaya, sekarang saya sedar idea terpaksa sesuaikan dengan pemikiran mereka.
"Ada mirip pemikiran sosialisme, ada liberalisme. Jadi saya terpaksa terjemahkan sesuatu perkara ini untuk disesuaikan dengan pelbagai aliran pemikiran yang ada," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan dakwaan masyarakat Melayu bahawa PH anti islam serta pendokong liberal adalah tuduhan yang dibuat oleh musuh kerajaan.
"Sudah tentu musuh menuding kita macam-macam, bila didakwa kerajaan dikuasai DAP? DAP tidak berkuasa, tiada siapa pun yang berkuasa dalam PH. Kalau kita (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiada, maka DAP akan jatuh.
"DAP mana ada kuasa, kalau ada perkara kita tidak setuju dengan DAP, kita akan cakap tidak setuju. Mana ada DAP berkuasa," katanya.
Program berkenaan dikendalikan moderator, Tan Sri Johan Jaafar.
#Bersatu
#DAP
#Dr Mahathir Mohamad
#Johan Jaafar
#liberalisme
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#rakyat
#sosialisme