Pilpres 2019: Keputusan tidak rasmi menunjukkan Jokowi mendahului
Astro Awani
April 17, 2019 15:57 MYT
April 17, 2019 15:57 MYT
Pada jam 2.00 petang waktu Malaysia sebentar tadi, rakyat Indonesia selesai menjalankan tugas mengundi sempena Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019.
Sejak awal jam 7 pagi, rakyat di seluruh negara itu berkunjung ke Tempat Pungutan Suara (TPS) secara beramai-ramai.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar beberapa TPS di sekitar Jakarta mendapati proses undian berjalan lancar.
Ini hasil pengawalan pihak berkuasa Indonesia yang ketat, yang turut dibantu lebih 10 ribu orang sukarelawan yang bertugas sebagai ejen pemberi maklumat dari pusat pengundi di seluruh Indonesia.
Susulan penutupan pusat pengundian jam 1 tengah hari waktu tempatan, fokus kini tertumpu kepada proses kiraan pantas (quick count).
Secara tradisinya, kiraan pantas sering digunakan sebagai sumber pengesahan tidak rasmi yang boleh memberikan gambaran jelas mengenai pemenang pilihan raya di negara itu.
Ini kerana pengumuman keputusan rasmi hanya akan dilakukan secara berperingkat bermula 25 April hingga 22 Mei 2019.
Setakat jam 4.53 petang waktu Malaysia, stesen berita Indonesia, Kompas TV menunjukkan Jokowi dan timbalannya, Ma’aruf Amin mendahului dengan peratusan 54.90 peratus undi mengikut kiraan pantas.
Sementara Prabowo dan timbalannya, Sandiaga Uno dilihat mengumpul 45.10% daripada jumlah undi.
Sebanyak 40 lembaga kiraan dilantik untuk mengira lebih 192 juta undian oleh pengundi berdaftar di Indonesia.
Ini kali pertama Pemilu 2019 diadakan serentak Pilpres.
Pemenangnya akan menerajui demokrasi ketiga terbesar dunia itu sehingga selewat-lewatnya 2024.
Sebelum ini, 1.5 juta pengundi Indonesia di Malaysia telah menjalankan tanggungjawab mereka menerusi proses pengundian awal pada Ahad lalu.
Pemilu dan Pilpres kali ini menyaksikan Jokowi dan Prabowo berentap buat kali kedua selepas pertama kali bertemu pada Pilpres 2014.
Astro AWANI akan membawakan kepada anda perkembangan Pemilu 2019 dan Pilpres 2019 secara langsung melalui wartawan kami di Jakarta, Saharudin Musthafa sepanjang hari ini di Saluran 501 dan www.astroawani.com.
#Indonesia
#Indonesia Memilih
#Jakarta
#pemilihan
#Pemilihan Presiden 2019
#Pileg 2019
#Pilpres 2019
#rakyat
#Tempat Pungutn Suara
#TPS