Pilihanraya Sarawak: 'Saya apai besar Malaysia, saya akan jaga semua' - Najib
Wan Syamsul Amly
April 28, 2016 15:15 MYT
April 28, 2016 15:15 MYT
Amalan persaudaraan seperti satu keluarga besar di dalam Barisan Nasional (BN) menjadi formula kejayaan kerajaan kepada rakyat selama ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelbagai agenda besar yang disalur kepada rakyat Sarawak menjadi bukti perancangan BN menjadi realiti.
"Ia jauh berbeza dengan sikap pembangkang yang hanya tahu menabur janji namun tidak dilaksana.
"Macam saya apai besar Malaysia. Saya kena jaga semua, dari Perlis sampai ke Sarawak semua saya jaga.
"Kampung Triboh, Kampung Ulu Lachau, apa juga saya akan jaga. Inilah semangat BN, kita satu keluarga yang besar," katanya semasa program walkabout di Kampung Triboh sempena minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini hari ini.
Pada 1966, Tun Abdul Razak Hussein merasmikan Kampung Triboh, iaitu sebuah perkampungan Iban yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Bandaraya Kuching.
Dalam pada itu kata Najib, rakyat Sarawak perlu memberi undi kepada BN demi memastikan semua projek pembangunan negeri yang dirancang dapat disempurnakan.
"Sebagai contoh, Lebuhraya Pan Borneo yang akan memberi banyak kelebihan serta kemudahan kepada rakyat negeri ini.
"Saya menyambung jasa yang dibuat ayahanda saya dahulu, ini tugas saya untuk menabur bakti kepada rakyat negeri ini," ujarnya.
Pada majlis sama, Najib mengumumkan pembinaan dewan baharu Kampung Triboh yang pada masa ini kelihatan daif dan hanya mampu menampung bilangan yang kecil.
Proses pengundian bagi 80 kerusi DUN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon.
#Adenan Satem
#Barisan Nasional
#BN
#Kampung Triboh
#Najib Razak
#pilihan raya Sarawak
#PRN-11
#sarawak2016
#Serian
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tun Razak